Monday, September 13, 2010

Wednesday, September 1, 2010

Salam `idul Fitr. . .


Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan dan kasih mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Aidilfitri adalah suatu hari di mana fitrah diraikan dan disyukuri. Ini kerana Islam tidak menjadikan keperluan kepada beragama sebagai suatu yang misteri di benak manusia, permusuhan dan dendam sebagai akhlak dan undang-undang kehidupan, kemiskinan serta kemelaratan sebagai disiplin agama, mahupun kasta dan status sosial sebagai suatu sistem kemasyarakatan.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa ‘fitrah’ adalah ‘ketetapan’ Allah yang ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayyed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Dalam konteks ini, al-Quran menjelaskan fitrah sebagai agama Hanif, agama yang lurus, agama pertama ditakdirkan untuk dianuti seluruh manusia. Tidak hairanlah mengapa manusia mempunyai potensi yang asli terhadap nilai positif sejagat yang sememangnya didukung agama pertama ini.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrim, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sementara warga kota yang pulang ke kampung memandu kenderaan, berlumba-lumba di jalan raya dan seterusnya mengubah Aidilfitri menjadi hari yang ditangisi bukan dirai.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Daripada sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan yang mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Melalui perayaan ini, syiar keagungan Islam disebarkan terutama apabila takbir dan tahmid berkumandang. Aidilfitri adalah hari persaudaraan dan kegembiraan dalam suasana mentauhidkan Allah, mengingati memenuhi tuntutan fitrah manusia adalah sebahagian daripada keperluan agama dan kerana itu ia perlu disyukuri.

Perlu diingat, fitrah manusia cenderung kepada kesederhanaan dan tidak harmoni kepada mana-mana ekstrim sama ada yang melampau atau terkurang. Kewajipan mengeluarkan zakat fitrah mengingatkan individu Muslim hakikat bahawa persaudaraan Islam menganjurkan umatnya bersifat prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan.

Dalam konteks ini, perkongsian bukan saja daripada sudut mata benda malah perasaan. Menunaikan zakat fitrah menyucikan jiwa si kaya daripada perasaan tamak dan bongkak, menyucikan jiwa si miskin daripada perasaan dengki dan iri.

Menanam antara dua jiwa rasa kasih, hormat dan seterusnya menimbulkan persaudaraan serta perpaduan. Ditambah pula apabila umat Islam berduyun-duyun berhimpun mendengar khutbah yang dibacakan imam dan bersama menunaikan solat sunat hari raya.

Uniknya Islam yang menyatukan amalan duniawi dan ukhrawi di bawah naungan tauhid. Semoga Aidilfitri menginsafkan kita hakikat keistimewaan agama fitrah ini.

kepada sahabat yang mengenali diri ana, ana ucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin atas segala salah silap...

Sumber: http://aferiza.wordpress.com/2007/10/10/memahami-semangat-fitrah-aidilfitri/