Sunday, August 22, 2010

Keistimewaan Malam Lailatul Qadar


Tanda kedatangan Lailatul Qadar


LAILATUL Qadar adalah satu malam pada Ramadan. yang keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Perkara ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?

Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan." (Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat itu, ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.

Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara.

Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran.

Kedua, pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai Lailatul Qadar kerana pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud:

"Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh malam akhir Ramadan."

Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satu malam pada Ramadan. Ia adalah sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan al-mubarak.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu.

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-

i. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan;

ii. Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;

iii. Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;

iv. Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);

v. Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;

vi. Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;

vii. Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan

viii. Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya;

Bagaimanapun berkaitan Lailatul Qadar, ulama sepakat mengatakan bahawa ada beberapa tanda apabila berlakunya malam itu, antaranya:

i. Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah;

ii. Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan;

iii. Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka; dan

vi. Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Bagaimanapun, pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari seribu bulan itu .

Saturday, August 14, 2010


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai . Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

http://feryco.com/adab-berpuasa-dan-solat-tarawih


Thursday, July 22, 2010

MARHABAN YA RAMADHAN



Empat tuntutan

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183

Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.

Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:

"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."

Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.

Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.

Selamat beribadat dan wassalam.

Saturday, July 17, 2010

Perkara tersirat di sebalik 4

4 ALAMAT ORANG CERDIK

1. Berani menempuh bahaya
2. Pandai bermanis muka dengan musuh
3. Pandai melihat kesempatan
4. Dapat menimbang pertimbangan orang lain


4 ALAMAT ORANG BERIMAN

1. Meninggalkan maki
2. Menjauhi menyakiti hati orang
3. Lekas memberi ampun
4. Lama baru menjatuhkan hukuman

4 TANDA ORANG BERAKAL


1. Cinta pada ilmu
2. Tidak berubah muka menerima umpat dan puji
3. Bagus jawabnya
4. Banyak benarnya


4 ALAMAT ORANG RENDAH

1. Membuka rahsia
2. Pendendam
3. Penggunjing
4. Memburukkan kawan

4 YANG MENIMBULKAN CINTA


1. Muka jernih
2. Sudi menolong
3. Sudi menghindarkan selisih
4. Menjauhi munafik


4 SOAL YANG MEMBAWA KEUNTUNGAN HIDUP

1. Benar perbicaraannya
2. Malu melakukan pekerjaan yang tidak baik
3. Baik budinya
4. Suka berterima kasih


4 SEMPURNA DENGAN 4


1. Ilmu dengan larangan
2. Agama dengan taqwa
3. Amal dengan niat
4. Kemuliaan dengan kelebihan


4 MESTI DIJAGA

1. Teguh menjaga kehormatan
2. Redha menerima sedikit
3. Berbuat kebaikan setiap hari
4. Memelihara lidah


4 MACAM PENCARIAN


1. Pertama akal, ialah orang yang hidup dengan bertani
2. Pertengahan akal, orang yang hidup berdagang
3. Penghabisan akal, orang yang hidup membunuh
4. Kehilangan akal, mencari dengan tidak halal

" KEJARLAH 5 SEBELUM TIBA 5 "

* WAKTU KAYA SEBELUM MISKIN,
* WAKTU SENANG SEBELUM SIBUK,
* WAKTU SIHAT SEBELUM SAKIT,
* WAKTU MUDA SEBELUM TUA DAN
* WAKTU HIDUP SEBELUM MATI"

Monday, July 12, 2010

7 petanda kebahagiaan..


Dari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1. Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur - Bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah terutama sekali apa yang kita miliki seperti pancaindera dan alam yang kita kecapi ini.

2. Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh - Dikurniakan oleh Allah pasangan yang baik merupakan suatu pemberian yang agung dari Ilahi. Sedap mata memandang, sedap lagi hati menerima.

3. Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh - Suatu kebahagiaan yang besar apabila dikurniakan anak yang baik-baik. Inilah harta yang tidak akan merugikan kita sampai hari Kiamat.

4. Albiatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita

5. Al malul halal, atau harta yang halal - Harta yang halal lagi baik memang wajib dicari oleh setiap Muslim. Kerana harta yang dimakan itu menjadi darah daging yang akan dikira oleh Allah Taala kelak.

6. Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama - Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang Islam bermula dari kecil sampai dekat mati. Ilmu yang dituntut itu mestilah diamalkan.

7. Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.

Hidup ini akan indah seindah indahnya…dan dikurniakan dengan ’syurga ajilah”..nikmat syurga yang disegerakan semasa masih berada dialam dunia ini..
Walaupun hidup miskin tetapi terasa selesa..
walaupun berada ditempat yang sempit tetapi terasa luas..
Apa rahsianya….hati yang sentiasa ZIKRULLAH…
Firman Allah swt..
“Sesungguhnya hanya dengan zikrullah hati menjadi tenang”
(surah ar rad ayat 28)
Ini adalah jaminan yang diberi oleh Allah swt sendiri dan tidak mungkin DIA mungkir janji…
Oleh itu berzikir lah(hidupkan hati dengan selalu menyebut nama Allah) setiap masa dan ketika,setiap waktu,setiap saat walau dimana kita berada..
Hati yang sentiasa berzikrullah adalah sebenarnya ’sunnah’ para nabi,para rasul,para sahabat,para waliyullah dan diri baginda Rasulullah saw sendiri..
Kerana zikrullah mereka sentiasa tenang dan sentiasa dalam perlindungan Allah swt..

Keimanan bentuk sahabat sejati



SAHABAT SEJATI

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

'Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..'

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’

DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.


sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.


sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.


sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.

-wahai diri berushalah untuk menjadi sahabat yg terbaik dan bersahabatlah kerana Allah-

Saturday, June 19, 2010

Kestari 2010 (kedah)

Kem Solat Remaja Islam 2010 (kestari)
Cuti sem kali ni tak lah boring sgt coz de program, dalam akhir bulan 5 dah bertolak ke Kedah untuk buat promosi ke sekolah2 sekitar Alor star, Jitra dan Changloon iaitu daerah yg berdekatan dengan lokasi program di Masjid Kepala Batas. Sasaran peserta adalah dikalangan pelajar sekolah tahap 1 dan 2. . dan kami turut tidak menyangka terdapat ibu bapa yg berminat menghantar anak mereka yg telah bersekolah menengah,. Banyak halangan yg kami tempuh sebelum tarikh bermula program nih..Alhamdulillah tak sangka akhirnya program ni betul2 terlaksana hasil kerjasama banyak pihak..Tujuan program ini dilaksanakan bagi kami sendiri adalah untuk menimba pengalaman mengurus program, juga membantu Hijrah Abadi Training & Consultancy dalam menjayakan niat murni mereka. Doa kami moga lepas ni banyak lagi program2 yg berfaedah seperti ini dapat dilaksanakan.


Tentatif program

TARIKH: 16 JUN 2010 HARI: RABU

8:00 – 8:30 pagi : Pendaftaran

8:30 – 9:30 pagi : Ceramah 1:“Motivasi Solat”

9:30 – 10:30 pagi : Pembahagian Kumpulan

10:30 – 11.00 pagi : Makan Pagi

11:00 – 12:30 tgh hari : LDK 1 (Teori & Praktikal: Anggota & Doa Wuduk)

12:30 – 2:00 petang : Makan tengah hari dan Solat Zohor

2:00 – 4:15 petang : LDK 2 (Bacaan iftitah & al- Fatihah)

4:15– 5:00 petang : Solat Asar

5:00– 6:00 petang : Riadah

6:00 – 7:00 malam : Makan Malam dan Persiapan Diri

7:00 – 7:45 malam : Solat Maghrib

7:45 – 8:30 malam : Kuliah Maghrib: “Kenapa Saya Perlu Solat?”

8:30 – 9:00malam : Solat Isya’

9:00 – 10:30 malam : LDK 3 (Bacaan Duduk antara Dua Sujud & Tahiyat)

10:30 – 11:00 malam : Cicipan


TARIKH: 17 JUN 2010 HARI: KHAMIS

5:00 – 6:00 pagi : Qiamullail

6:00 – 7:15 pagi : Solat Subuh dan Kuliah Subuh

7:15 – 8:00 pagi : Sarapan pagi

8:00 – 9:30 pagi : Ceramah 3: “Implikasi Solat dalam Kehidupan Remaja”

9:30 – 10:30 pagi : LDK 4 (Bacaan Surah Lazim & Doa Qunut)

10:30 – 11:00 pagi : Minum Pagi

11:00 – 12:30 t/hari : LDK 5 (Amali Solat )

12:30 -1:00 petang : Makan Tengah hari

1:00 – 2:00 petang : Solat Zohor

2:00 – 3:30 petang : PDK 1 – Bacaan Solat

3:30 – 4:30 petang : PDK 2 – Amali Solat

4:30 – 5:00 petang : Solat Asar

5:00 – 6.30 petang : Persembahan dan Bersurai



Gembira melihat anak2 ini bersungguh2 menimba ilmu solat, begitu khusu` mendengar setiap apa yg diajarkan oleh fasilitator..

Penilaian paling akhir adalah penilaian bersih solat secara berjemaah bagi memastikan peserta dapat melihat secara jelas pergerakan solat yg betul.


LDK (latihan dalam kumpulan) serta ceramah yg dijalankan membantu peserta untuk mengukuhkan bacaan solat dan memahami akan peri pentingnya solat dalam kehidupan..
P/S: Kepada semua pihak yg terlibat termasuk guru2 j-Qaf, fasilitator2, pihak pengurusan masjid dan lain2 yg berkenaan..Ribuan Terima Kasih..Moga dapat kembali memberi kerjasama pada masa akan datang memandangkan mungkin ini adalah program berantai..

Peringatan tulus ikhlas bg semua pihak:

"Ikhlaskan hati, bukan kerana wang ringgit semata2, tetapi demi agama dan anak bangsa"
"namun ikhlas tidak menafikan hak"