Tuesday, May 24, 2011

PesimiskaH SabaR?

Seseorang Itu Akan Memusuhi Apa Yang Tidak Diketahuinya……….

Oleh sebab itu penting sekali bagi kita untuk memahami apa erti sabar yang sebenarnya. Sabar dari segi bahasa ertinya menahan atau mengekang. Dari segi praktiknya pula bermaksud menahan atau mengekang daripada berkeluh kesah dan sedih dalam menghadapi sesuatu yang tidak disukainya..

Lawan sifat sabar adalah BERKELUH KESAH….

Sifat sabar sangat penting dalam kehidupan kerana apa yang berlaku pada diri kita tidaklah sentiasa secocok atau selaras dengan apa yang kita inginkan. Kita bukan Tuhan, kita hanya hamba-Nya. Banyak perkara yang berlaku pada kita adalah perkara yang kita tidak ingini, harapkan dan jangkakan, Jadi apakah jalan keluar? Tidak lain hanya dengan sifat sabar sahaja membolehkan kita mampu menghadapi semua itu tanpa rasa kesal, kecewa, bimbang dan dukacita.

Sabar itu bukan sahaja satu tuntutan syariatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk dipatuhi oleh manusia), malah ia adalah satu sunatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur seluruh alam dan kehidupan). Seluruh alam ini dicipta dan diatur atas tapak sabar. Langit dan bumi diciptakan oleh Allah penuh dengan kesabaran yakni dalam tempoh enam masa, padahal Allah mampu menjadikannya hanya dengan sekelip mata.

Matahari terbit daripada timur sedikit demi sedikit untuk tenggelam disebelah barat. Tumbuh-tumbuhan juga tumbuh sedikit demi sedikit, daripada anak benih hinggalah berbatang, berdahan, beranting, berdaun dan kemudian berbuah mengikut musim tertentu. Begitu juga dengan penciptaan haiwan, manusia dan segalanya.

Apabila menyentuh soal sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang sabar dengan musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 2: 177)

Ertinya tanpa ilmu tidak akan ada kesabaran. Iman itu bukan sekadar ilmu di kepala, ucapan di mulut, tetapi ia soal keyakinan dalam hati serta dibuktikan dengan perbuatan. Apabila pesan sabar diluahkan, ia sekaligus merupakan pesanan yang berkaitan dengan soal keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Allah menyebut tentang sabar lebih daripada 90 tempat dalam Al-Quran. Ini menunjukkan betapa perlunya sifat tersebut untuk dimiliki oleh setiap manusia. Tanpa sabar tidak akan ada kejayaan di dunia dan akhirat.

Berpesan-pesan atas kesabaran tidak boleh dianggap jumud, menyerah atau eskapisme. Sabar juga bukan satu sifat pesimif dan tidak produktif.

Orang-orang yang beriman akan mendapat kekuatan daripada pesan sabar. Hatinya mampu mengaitkan apa yang sedang di hadapinya dengan ketentuan Allah. Apabila berlaku sesuatu musibah pada dirinya, dia dapat menerima dan menghadapinya dengan baik kerana menyedari hakikat berikut:

Pertama, yakin akan mendapat pahala tanpa batas daripada Allah

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanya orang yang bersabar yang dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batasan”. (Surah Al-Zumar 39: 10)

Kedua, mendapat berita gembira dengan rahmat dan petunjuk Allah

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, “kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami akan dikembalikan” mereka itulah yang akan mendapat rahmat daripada tuhan-Nya dan merekalah orang yang akan mendapat petunjuk”. (Surah Al-Baqarah 2: 155-157)

Ketiga, diampunkan segala dosa

Dia faham bahawa ujian yang didatangkan oleh Allah kepada-Nya adalah jalan pembersihan terhadap dosa-dosa yang dilakukannya. Jadi dia tahu kepahitan ujian itu hakikatnya adalah ubat kepada penyakit-penyakit hatinya.

Keempat, mendapat syurga di akhirat kelak

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu”. (Surah Al-Ra’d 13: 23-24).

Seorang yang kematian anak misalnya, akan digembirakan oleh Allah menerusi janjinya yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w, mafhum sabda baginda:

“Jika anak seorang hamba mati, Allah berkata kepada malaikat-Nya: “Engkau telah mengambil nyawa anak daripada hamba-Ku? Mereka menyatakan: Ya,’ Allah kemudian berkata: Ia memuji-Mu dan beristija, Maka Allah berkata: ‘Dirikanlah sebuah rumah di syuga buat hamba-ku dan berikanlah nama dengan Baitul Hamd (rumah pujian)”. (Riwayat Al-Tirmizi daripada Abu Musa Al-Ash’ari).

Jika langit hendak runtuh

Bagaimana jari hendak menahannya

Kita hamba dibatasi takdir

Disitulah nokhtah segala tadbir

Hitungkan laut kesyukuran

Dipinggir pantai kesabaran

Carilah hikmah tuailah iktibar

Sabarlah dalam bersabar

Betapa pun terasa pahit

Janganlah hendaknya tercalar tauhid

Sesungguhnya sabar itu indah

Didikan terus daripada Allah

Ujian itu penebus dosa

Meningkatkan darjat

Menambahkan pahala

Bingkisan tazkirah daripada yang Esa

Bagai ombak..

Penghias samudera.

Sabar itu indah by PahrolMuhamad Juoi

No comments:

Post a Comment