Thursday, February 18, 2010

Hukum meninggalkan solat

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis.

Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).

Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud:

Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:

Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.

Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.

(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.

(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.

Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:

  1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
    Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
  2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.
    Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
    Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.

Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.

Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.

Sementara itu setengah para ulama' membuat andaian berdasarkan hadis-hadis orang-orang yang meninggalkan sembahyang fardhu itu itu sama nilaian dengan dosa seperti berikut:

Sembahyang Subuh

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang subuh , nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka selama 60 tahun.

Sembahyang Zohor

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang zohor dengan sengaja dosanya sama dengan membunuh 1000 orang Islam

Sembahyang Asar

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Asar dengan sengaja , dosanya sama dengan seperti ia meruntuhkan Ka'abah (Rumah Allah)

Sembahyang Maghrib

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Maghrib dosanya sama seperti ia berzina dengan ibunya atau anak perempuan bagi orang-orang lelaki ataupun berzina dengan bapa atau anak lelaki bagi orang-orang perempuan.

Sembahyang Isya'

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Isya' nescaya Allah tidak akan redha ia tinggal di dunia ini ( bumi Allah ) dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah. Segala gerak geri adalah semata-mata dalam keadaan berdosa kepada Allah s.w.t.

Di antara hadis yang menyebut mengenai dosa orang yang meninggalkan sembahyang ialah :

Sabda Nabi s.a.w. :

"Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka ia mendirikan agamanya, dan barang siapa yang meringankan sembahyang maka ia akan diseksa dengan 15 perkara ..

  • enam perkara di atas dunia
  • tiga perkara sewaktu hendak mati
  • tiga perkara sewaktu di dalam kubur
  • tiga perkara sewaktu bertemu dengan Tuhan

    Enam perkara seksaan di atas dunia

  • Dihilangkan berkat sedikit demi sedikit yang ada pada umurnya
  • Dikurangkan rezeki di dalam usahanya
  • Tiada dipelihara baginya agama Islam
  • Dikurangkan pengaruh-pengaruh baik pada dirinya
  • Segala amal kebajikan yang diamalkan dalam dunia ini tiada diberi pahala oleh Allah akan dia.
  • Tiada diangkat oleh malaikat ke langit akan segala amalnya

    Tiga perkara sewaktu hendak mati

    1. Dimatikan dalam kehinaan
    2. Dimatikan dalam keadaan sangat lapar
    3. Dimatikan dalam keadaan sangat kehausan walaupun dituangkan air kekerongkongnya sebanyakmanapun

    Tiga perkara sewaktu dalam kubur

    1. Dihimpit tanah dalam kuburnya sehingga keadaan tulang selangkanya remuk sama sekali dan Tuhan memerintahkan malaikat Munkar dan Nankir menyiksanya sehingga hari kiamat.
    2. Didatangkan Allah seekor ular besar bernama SHWAUN-RAK yang keadaannya sangat dasyat, matanya seperti guruh dilangit menggigit dan membenamkan kukunya kepada mangsanya hingga hari kiamat.
    3. Didatangkan malaikat yang bertongkat besi, sambil berkata dengan suara yang ganas dan kuat seperti guruh di langit seraya berkata:
      "Aku diperintahkan oleh Allah memalu (memukul) engkau
      daripada subuh hingga zuhur, dan zuhur hingga subuh"

      Tiap-tiap kali pukul atau paluan itu tertanam tubuh kita hingga 70 hasta ke dalam tanah, maka dikeluarkan pula kukunya yang mana keadaan memakan masa selama sehari semalam dalam perjalanan.

  • Wallahu a’lam.

    P/s: Solatlah anda sebelum anda disolatkan.

    5 comments: